ADA ketikanya pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi
semakin ketat dan berat. Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk
memutar stereng dan keadaan ini menyusahkan terutama ketika meletak
kenderaan dan apabila perlu banyak membelok.
Antara sebab keadaan
ini berlaku ialah tekanan angin tayar depan yang terlalu rendah,
penjajaran (alignment) tayar depan kurang tepat, kekurangan atau
kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng, kekurangan gris
pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan penyelarasan
yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Dalam pada itu,
stereng automatik dan biasa memang berbeza. Namun, untuk tujuan meletak
kereta, mengundur atau membelok, stereng automatik lebih mudah dan
selesa.
Namun, ada ketikanya masalah stereng berlaku ketika anda
memandu laju. Ketika kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi di atas
jalan yang rata, roda depan terasa meliar dan stereng sukar
dikendalikan.
Keadaan ini berbahaya terutama jika kenderaan
bergerak laju melebihi 100 kilometer sejam apa lagi jika melalui jalan
basah dan licin.
Punca keadaan ini terjadi antara lain disebabkan
kehausan sambungan sistem roda kemudi terutama hujung dan pangkal rod
pengikat, kehausan atau kesalahan penyelarasan alat pengemudian. Malah
terlalu banyak gerak bebas pada pengalas roda depan dan kelonggaran pada
stereng (di dalam kotak gear stereng) juga boleh menjadi puncanya.
Sistem
pengemudian lazimnya membabitkan kerangka kereta. Dalam situasi roda
depan meliar dan stereng sukar dikendalikan adalah masalah yang sering
melanda sistem pengemudian apabila terlalu banyak gerak bebas pada
stereng.
Jadi, apabila berhadapan dengan masalah stereng sukar
dikawal, mula-mula usahakanlah agar kenderaan dapat bergerak lurus.
Tetapi biasanya apabila ada kerosakan pada sistem penggerak roda depan,
kenderaan tidak dapat bergerak lurus. Kenderaan akan bergerak
seolah-olah ‘hanyut’ ke kiri dan kanan.
Apabila berhadapan dengan
keadaan sebegini, antara pemeriksaan dan pembaikan kecemasan yang boleh
dilakukan termasuk memeriksa gerak bebas stereng. Gerak bebas stereng
adalah gerakan berputar stereng yang tidak menyebabkan roda depan
bergerak ke kiri atau kanan. Gerak bebas normal stereng adalah sebesar
10-30mm dari suatu tanda tetap.
Apabila gerak bebas stereng
terlalu besar, maka akan terjadi kenderaan bergerak dalam keadaan liar.
Memang sukar untuk memeriksa sendiri rod kemudi dan sambungan yang
longgar, jadi bawalah ke bengkel.
Kerosakan sistem gantungan
terutama belakang juga menyebabkan pemanduan yang tidak selesa. Ketika
sedang dipandu di atas jalan datar, bahagian belakang kenderaan
bergoyang kuat sehingga menjejaskan keselesaan penumpang belakang.
Keadaan
itu boleh terjadi disebabkan bolt pegas daun penyerap hentak belakang
patah. Akibatnya kenderaan tidak stabil dan tidak dapat dipandu dengan
mudah terutama pada kelajuan tinggi. Keadaan ini sering terjadi terutama
pada kenderaan besar.
Gejala yang sama mungkin terjadi
disebabkan tiupan angin sampingan yang kuat. Bagaimanapun, keadaan ini
banyak terjadi pada kenderaan ringan.
Keadaan sistem pengemudian hendaklah diperiksa dengan teliti kerana ia berkaitan dengan keselamatan penumpang.